Pendekatan dalam Mendidik Anak
A. Pendekatan dalam Mendidik Anak
Setiap orang
yang berumah tangga, pasti menginginkan anak, dan setiap ibu bapa yang muslim,
pasti ingin agar anaknya menjadi anak yang soleh. Kerana itu setiap pagi,
siang, petang dan malam kita selalu berdo’a agar Allah menganugerahi keturunan
yang soleh. Namun dalam konsepsi Islam, anak yang soleh itu bukan sekadar
menjadi harapan dan meraihnya hanya dengan do’a.
Dengan demikian,
orang tua yang ingin anaknya soleh, seharusnya dialah yang mendidiknya secara
langsung. Justeru institusi pendidikan Islam, guru yang mengajarnya mengaji dan
sebagainya yang ikut serta mendidik sang anak, itu hanyalah pelengkap, maka ibu
bapa tidak boleh merasa kewajibannya mendidik anak telah gugur kerana telah
menyekolahkan anaknya di sekolah Islam atau memanggil guru Quran ke rumah. Ini
perlu dipertegaskan dan diperingatkan terhadap ramai ibu bapa di luar sana yang
berprinsip demikian.
Persoalan
lain dalam hal pendidikan anak adalah, banyak ibu bapa yang seolah-olah
kehabisan modal dalam menghadapi dan mendidik anak-anaknya. Kerana itu, perlu
kita menyemak petunjuk Abdullah Nashih Ulwan dalam bukunya "Tarbiyatul
Aulad Fil Islam". Beliau menyebutkan lima pendekatan dalam mendidik
anak sebagai berikut:
Pertama, mendidik
dengan keteladanan, dalam erti kata lain, ibu bapa harus memberikan teladan
atau contoh yang baik kepada anak-anaknya, ini bererti, kalau ibu bapa ingin
anaknya menjadi soleh, ibu bapanyalah yang harus lebih dulu shaleh. Kedua,
mendidik anak dengan pembiasaan yang baik, maknanya ibu bapa harus menanamkan
kebiasaan-kebiasaan baik kepada anak-anaknya, ibu bapa tidak boleh memakai
prinsip, "ah nanti kalau sudah besar mereka tahu mana yang baik dan mana
yang tidak." Mungkin mereka mampu mengetahui mana yang baik dan mana yang
buruk, tapi mereka tidak mampu melaksanakan yang baik dan meninggalkan yang
tidak baik sekiranya tidak dibiasakan sejak kecil, inilah pentingnya
membiasakan hal-hal yang baik kepada anak sejak anak itu kecil. Ketiga,
mendidik dengan mengajarkan ilmu pengetahuan dan dialog tentang berbagai
persoalan. Dalam hal ini amat penting ibu bapa mampu menanamkan pengertian
kepada anak-anaknya, dan dialog merupakan cara yang paling tepat, apalagi
menghadapi anak yang sudah memasuki usia remaja. Namun sayang sekali, kerana
kesibukan ibu bapa, justeru suasana berdialog antara anak remaja bersama ibu
bapanya jarang tercipta pada keluarga-keluarga kita sekarang ini. Keempat, mendidik
dengan memberikan pengawasan dan nasihat. Dalam era sekarang. pengawasan dari
ibu bapa terhadap anak-anaknya sangat diperlukan, sehingga ibu bapa tahu
perkembangan jiwa atau keperibadian anaknya dari masa ke semasa. Kalau ibu bapa
tahu perkembangan jiwa anaknya, maka ia tahu nasihat apa yang harus diberikan
kepada mereka. Kelima, mendidik dengan memberikan hukuman. Ini dilakukan
bila cara-cara yang lemah lembut tidak membuat si anak berubah ke arah yang
lebih baik. Namun menghukum anak tidak selalu dalam bentuk hukuman fisik
seperti merotan, tapi lakukanlah dengan cara-cara yang sifatnya edukatif
(mendidik).[1]
[1] Abdullah
Nashih Ulwan, Tarbiyatul Aulad fil-Islam, terj. Saifullah Kamalie dan
Hery Noer Ali Jilid II, (Semarang: Asy-Syifa’, 1992), hal. 28.